Tempat Terindah Ungu

March 13, 2006

Ungu cuba nasib di Malaysia

Filed under: News

MUNGKIN bagi peminat muzik di Malaysia, nama kumpulan Ungu masih belum dikenali,jauh sekali menjadi siulan ramai. Namun bagi peminat muzik di Indonesia, Ungu dikenali sebagai saingan hebat kepada kumpulan nombor satu, Peterpan dan Radja.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 ini sudah menghasilkan tiga album penuh dan beberapa album kompilasi bersama artis popular Indonesia.

Album pertama mereka berjudul Laguku diedarkan pada 2002. Salah sebuah lagu daripada album ini yang bertajuk Bayang Semu pernah menjadi lagu runut bunyi bagi sebuah sinetron yang ditayangkan di stesen RCTI.

Album kedua berjudul Tempat Terindah pula diedarkan pada 2004 di Indonesia. Menerusi album itu, mereka berpeluang menjadi MTV Exclusive Artist dengan single album Karena Dia Kamu.

Sementara album ketiga mereka berjudul Melayang baru sahaja menjengah di pasaran Indonesia pada 11 Disember tahun lalu. Apa yang membanggakan, dalam masa sebulan sahaja album ini berjaya dijual 150,000 unit dan mereka dianugerakan ‘Double Platinum’.

Perkembangan terkini pula menyaksikan album mereka kini sudah pun meningkat melebihi 300,000 unit di Indonesia.

Menurut Eksekutif Perhubungan Awam Suria Records Sdn Bhd (SRC), Rizweinta Irman Ridzwan, semenjak itu kumpulan Ungu menjadi rebutan beberapa syarikat rakaman terkenal di Malaysia.

“Akhirnya SRC diberi kepercayaan menjadi syarikat rakaman yang mengedarkan album ketiga Ungu berjudul Melayang di Malaysia. Album ini akan menjengah ke pasaran Malaysia pada hari ini.

“Mungkin ada segelintir membandingkan populariti Ungu dan kumpulan popular lain seperti Peterpan, Radja dan Dewa. Namun kami optimis akan mempunyai kelompok peminat yang tersendiri apabila lagu mereka bakal disiarkan di sini,” katanya.

Ungu dianggotai lima anak muda yang terdiri daripada Pasha (vokalis), Oncy (gitar), Enda (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram).

Lagu dan lirik album Melayang ini hampir semuanya dicipta gitaris Ungu sendiri iaitu Enda dan terdapat juga beberapa lagu dicipta oleh Oncy dan Pansha. Single pertama album ini yang dicipta Enda iaitu Demi Waktu cukup popular di Indonesia dan menjadi siulan ramai.

“Lagu ini kerap dimainkan di stesen radio di Indonesia. Ia cukup puitis dan mengusung tema cinta universal. Single ini berjaya melayakkan Ungu muncul sebagai ‘Band Favorite 2005’ anjuran Indonesia News Channel.

“Klip video untuk lagu ini juga sudah siap penggambarannya dan dilakukan di Pasar Tanah Abang. Uniknya, penggambaran dibuat di kawasan tanah perkuburan dan klip video dilakukan dalam hujan lebat.

“Kami akan membawa Ungu ke Malaysia bagi rangka promosi selama tiga hari bermula 16 hingga 18 April ini. Pihak SRC juga mengatur beberapa jadual promosi yang cukup padat untuk mereka dan akan ditemubual beberapa stesen radio dan televisyen tempatan,” katanya.

Ungu ketika dihubungi pihak SRC, memberitahu mereka tidak sabar untuk datang ke Malaysia. Ungu juga amat bersyukur kerana peminat di Malaysia menyambut baik muzik mereka. Malah mereka berjanji akan memberi layanan terbaik buat peminat dan bakal peminat sepanjang berada di sini nanti.

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://unguband.blogsome.com/2006/03/13/ungu-cuba-nasib-di-malaysia/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>























Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Hadley Wickham