Ungu teruja showcase pertama di Malaysia
SEBAGAI artis yang baru hendak mencipta nama di negara ini, kumpulan rock dari Indonesia, Ungu berasa teruja apabila diberi peluang mengadakan persembahan di negara ini.
Apatah lagi persembahan Ungu yang akan diadakan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada 25 Jun ini pukul 3 petang merupakan showcase solo pertama mereka.
Vokalis Ungu, Pansha berkata, mereka berasa tidak sabar untuk mempamerkan kelainan muzik Ungu pada persembahan itu nanti.
“Kami mahu buktikan inilah Ungu yang sebenarnya. Pada 15 April lalu, kami memang pernah mengadakan Konsert Malam Pesta Indonesia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
“Tetapi pada konsert itu kami mengadakan persembahan bersama tujuh lagi artis dari Indonesia.
“Showcase pada hari Ahad ini istimewa kerana ia persembahan solo pertama kami di sini,” katanya pada akhbar di Planet Hollywood, Kuala Lumpur petang kelmarin.
Hadir sama pada majlis itu ialah empat anggota Ungu iaitu Oncy (gitaris), Rowman (dram), Enda (gitaris) dan Mimik (bassis).
Menurut Pansha, pada persembahan di pusat hiburan terkemuka itu, Ungu akan membawakan lagu-lagu daripada album-album terdahulu mereka.
Antaranya album pertama Ungu berjudul Laguku (2002) dan album kedua, Tempat Terindah (2004) yang tidak pernah diedarkan di negara ini.
Selain itu, Ungu juga akan membawakan lagu-lagu yang dipetik daripada album ketiga dan terbaru mereka berjudul Melayang yang diedarkan di negara ini sejak 18 April lalu.
“Kami anggap persembahan kami itu nanti ada nilai tambahnya (istimewa) yang tersendiri kerana ini adalah solo act kami.
“Persembahan kami itu nanti akan berlangsung selama kira-kira sejam di mana kami akan menyampaikan 10 hingga 13 buah lagu.
“Malah, ada juga lagu-lagu yang akan kami bawakan nanti mungkin belum pernah didengar oleh peminat-peminat di negara ini,” jelasnya.
Biarpun pertama kali mengadakan persembahan di negara ini tetapi Ungu tidak pernah memaksa para peminat menyaksikannya.
“Kami tidak pernah memaksa penonton datang ke showcase kami tetapi kami berharap ramai yang akan datang menyaksikannya,” kata Pansha.
Dalam pada itu, Ungu tidak mahu memikirkan tentang jualan album Melayang biarpun jumlahnya amat memberangsangkan.
Album Melayang, misalnya, berjaya dijual 300,000 unit dalam masa beberapa minggu sewaktu ia diedarkan di Indonesia baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pansha berkata, mereka akan cuba menghasilkan album yang terbaik dan menyerahkannya kepada para peminat untuk membuat penilaian.
“Dalam soal itu, kami tidak pernah rasa terbeban. Sebaliknya, apa yang kami tahu kami akan terus berkarya dengan sebaik mungkin.
“Kami akan terus berkarya untuk mencipta lagu-lagu dan cerita (lirik) yang berbeda-beda (berbeza). Dalam soal itu, kami sudah biasa dengan jualan album Ungu yang tidak menentu.
“Album pertama kami berjudul Laguku dijual 150,000 unit tetapi album kedua kami, Tempat Terindah, pula hanya berjaya dijual 120,000 unit,” ujarnya.
Selain itu, Ungu juga tidak mahu menetapkan jumlah jualan album Melayang yang diedarkan di negara ini oleh syarikat rakaman SRC.
Kata Pansha, walaupun jualan album-album Ungu di Indonesia menggalakkan tetapi mereka belum pernah mengatasi rekod yang dicipta oleh kumpulan-kumpulan seperti Sheila On 7 yang dijual hampir dua juta unit.
Ketika ditanya berapakah jumlah jualan album artis di Indonesia yang boleh melayakkan mereka dianggap hebat di negara itu, Pansha berkata:
“Sebenarnya tidak pernah ada istilah seperti itu di sana (Indonesia). Fenomena album artis Indonesia dijual lebih tiga juta unit jarang terjadi.
“Kalau ada pun ia biasanya terjadi tiga tahun sekali. Itu boleh dianggap satu fenomena. Bagi saya, dua juta itu adalah satu angka yang fantastik.
“Tetapi itu tidak termasuk yang bajakan (cetak rompak) kerana apa yang saya tahu, satu unit album original, yang bajakan nisbahnya 10 unit,” katanya.
Menyentuh tentang logo Ungu yang memaparkan gambar huruf ‘g’ yang mempunyai dua tanduk seperti tanduk syaitan, Mimik pula mencelah:
“Itu cuma tanduk sapi (lembu). Sewaktu album pertama kami tanduknya cuma satu tetapi selepas dua album tanduknya menjadi dua.
“Ia sebagai trademark Ungu. Tanda itu juga tidak ada mempunyai sebarang maksud. Jangan pula fikir kami pengikut pemuja syaitan,” jelas Mimik sambil ketawa.
