Ungu: Tidak mahu bersaing
Pesta Malam Indonesia April lalu bagaikan membuka satu lembaran baru bagi kumpulan sensasi Indonesia, Ungu, untuk kembali ke Malaysia.
Semalam, kumpulan yang dibarisi Pasha (vokalis), Makki (pemain bass), Enda (pemain gitar), Onci (pemain gitar) dan Rowman (pemain drum) diterbangkan khas untuk mengadakan showcase solo pertama mereka yang bertempat di Planet Hollywood.
Band yang berasal dari daerah Tebet itu mendendangkan 12 buah lagu termasuk ‘Demi Waktu’, ‘Sejauh Mungkin’ dan ‘Bimbi’ selama satu setengah jam tanpa henti.
Penampilan istimewa Nita sebagai artis undangan menerusi lagu ‘Melayang’ dan ‘Seperti Yang Dulu’ turut memeriahkan suasana konsert itu.
Malah, vokalis utama Ungu tidak henti-henti memuji kecantikan serta kebolehan vokal Nita ketika persembahan duet mereka.
Teriakan serta aksi lincah para peminat muda mereka menggambarkan hebatnya persembahan Ungu.
Namun, hanya 300 orang yang datang untuk menonton konsert Ungu tersebut berbanding dengan 1,000 orang penonton yang menghadiri showcase Dewa 19 pada bulan April yang lalu.
"Kami tidak boleh mengharapkan full house untuk persembahan solo pertama kami," ujar Onci yang merasa tidak layak dibandingkan dengan nama-nama besar seperti Dewa 19 serta Peterpan.
Ungu turut bertegas bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat untuk merampas gelaran kumpulan Indonesia yang ‘mengetop’ daripada mana-mana band.
"Radja dan Peterpan merupakan sahabat baik kami dalam industri ini. Kami tidak mahu bersaing dengan sahabat kami," tegas Pasha mengenai pendirian kumpulan yang telah meraih double paltinum di Indonesia dalam masa sebulan menerusi album ketiga mereka, ‘Melayang’.
"Yang penting, kami berasa senang sekali dengan sokongan yang diberikan oleh peminat-peminat kami di Malaysia ini," kata Onci terharu.
Mereka turut berharap agar konsert di Planet Hollywood itu akan menjadi batu loncatan untuk mengadakan konsert solo yang lebih besar seperti di Stadium Merdeka.
Tidak mahu konflik
Band yang ditubuhkan pada tahun 1996 turut menyedari rasa tidak senang hati di kalangan kumpulan rock tempatan terhadap kemasukan band-band dari Indonesia yang dikatakan memonopoli penganjuran konsert serta jualan album di pasaran Malaysia.
"Kami tidak mahu bersaing dengan sesiapa. Malah, kami menghormati para rockers di Malaysia," kata Pasha.
Tambahnya lagi, mereka berharap tidak ada sebarang konflik berlaku di antara kumpulan-kumpulan rock dari Malaysia dan Indonesia.
"Pokoknya, kenapa harus kita berpecah sedangkan kita serumpun dan sebahasa," tegas vokalis Ungu lagi yang pernah menegur perangai segelintir penonton yang berpuak-puak ketika persembahan Ungu pada konsert Pesta Malam Indonesia.
|
" |
Ungu pernah digam
Mungkin ramai peminat di Malaysia yang tidak tahu bahawa salah sebuah album Ungu pernah dihentikan penjualan di pasaran muzik Indonesia.
Album yang dijadikan soundtrack kepada filem ‘Buruan Cium Gue’ diharamkan oleh pihak penapisan Indonesia setelah judulnya ditentang secara terbuka oleh beberapa kumpulan ulama kenamaan Indonesia seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Filem itu mengisahkan sekumpulan remaja yang mengharungi suka-duka alam percintaan.
"Filem itu tidak ditayangkan kerana judulnya dikatakan tidak senonoh. Ironinya, filem itu tidak mengandungi sebarang unsur yang lucah mahupun adegan yang melanggar batasan norma," ujar Makki yang hampa apabila album soundtrack yang dirakamkan oleh kumpulan tersebut turut diharamkan oleh pihak berkuasa.
"Apakan daya, kami hanyalah golongan pemuzik yang tiada hak bersuara," ujar pemain bass tersebut.
Namun, Makki turut berharap agar dua buah album terawal kumpulan Ungu yakni ‘Laguku’ dan ‘Tempat Terindah’ dapat dipasarkan di Malaysia dengan secepat yang mungkin.
